Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di tapak bazar Ramadan Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO ajak rakyat dapatkan barangan asas murah di lima lokasi

SHAH ALAM, 5 JULAI: Warga Selangor disaran tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah sepanjang Karnival Jualan Aidiladha yang bermula hari ini hingga 8 Julai.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata inisiatif berkenaan bagi membantu penduduk mendapat barangan segar selain mengurangkan beban kenaikan kos makanan menjelang hari raya.

“Warga Selangor, jangan lepaskan peluang…harga ayam serendah RM15 seekor, telur ayam RM12 sepapan, minyak masak RM2 sepaket dan pelbagai lagi barangan dijual pada harga berpatutan,” katanya di Facebook.

Karnival jualan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuka tirainya hari ini di Taman Perwira Sijangkang dan diteruskan ke Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung (6 Julai) serta Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat, 7 Julai.

Pada 8 Julai, jualan dijadual berlangsung serentak di Taman Gombak Permai, Gombak dan Pangsapuri Inai, Pandan Indah.

Produk ditawarkan ialah ayam (RM15 seekor), telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepaket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepaket).

Jualan mulai jam 9 pagi hingga 2 petang turut menjual beras, beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak botol dan gula.


Pengarang :