Pemain skuad Malaysia B-19 ketika mementang Kemboja pada peringkat Kumpulan B Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Stadium Madya, Jakarta pada 5 Julai 2022. Foto Facebook FAM
AGENDA SUKANKINI

Harimau Muda mula kempen Piala AFF B-19 langkah kanan

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Skuad muda negara memulakan kempen Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Kemboja, hari ini.

Perlawanan Kumpulan B di Stadium Madya, Jakarta, itu menyaksikan skuad Harimau Muda B-19 kebangsaan memperoleh gol pendahuluan menerusi jaringan Najmudin Akmal Kamal Akmal pada minit ke-13.

Pasukan kendalian Hassan Sazali Waras kemudian menggandakan jaringan menerusi Haiqal Haqeemi Hairi pada minit ke-30, namun Kemboja berjaya merapatkan jurang menerusi Chanvibol Davit pada minit ke-56.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Hassan Sazali berkata kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan misi pasukan untuk meraih tiga penuh pada aksi sulung tercapai, malah pemain juga menampilkan persefahaman yang baik.

“Mereka bermain dengan komitmen yang tinggi…dengan semangat kemenangan ini, akan beri satu moral yang baik untuk hadapi aKsi seterusnya. Namun, disebabkan pertandingan ini diadakan secara karnival, saya kena guna giliran pemain, tak boleh tertumpu kepada kesebelasan utama sahaja.

“…mungkin pada perlawanan kedua, pemain yang tidak diturunkan hari ini akan diberi peluang. Tetapi saya tak janjikan,” katanya menerusi klip audio yang dikongsikan kepada media.

Hassan Sazali berkata beliau akan meneliti laporan daripada pasukan perubatan sebelum mengambil keputusan mengenai beberapa pemain yang mengalami kecederaan pada aksi petang tadi.

Kemenangan hari ini menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua kumpulan menerusi perbezaan jaringan, walaupun berkongsi tiga mata dengan pendahulu Laos, manakala Kemboja berada di tempat ketiga.

Skuad negara, yang juga merupakan juara edisi 2018, seterusnya akan berdepan Singapura pada Khamis ini, diikuti aksi menentang Timor Leste (9 Julai) dan Laos (11 Julai).

Hanya dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :