Pemenang pingat emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) Abdul Latif Romly ceria mempamerkan pingat emas yang dimenanginya dari temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Jaguh paralimpik, Abdul Latif Romly yakin raih pingat emas keempat di Solo

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Jaguh Paralimpik negara, Datuk Abdul Latif Romly yakin mampu menjulang pingat emas keempat berturut-turut dalam penampilan keempatnya di temasya Sukan Para ASEAN (APG) Solo bermula Sabtu ini.

Atlet berusia 25 tahun yang berjaya mengungguli acara lompat jauh lelaki F20 (masalah intelektual) sejak penampilan pertama pada edisi 2013 di Myanmar berkata, segala persiapannya sudah dilakukan untuk menjayakan misi tersebut.

Walaupun bakal beraksi buat kali pertama sejak hampir setahun berehat selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika mempertahankan emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada September lepas, juara dunia itu tetap yakin untuk ‘terbang’ jauh di Solo.

“Saya dah pulih sepenuhnya daripada kecederaan, insya-Allah dapat membawa pulang emas sekali lagi. Setakat ini, lompatan terbaik tahun ini adalah 7.48 meter (m) yang dilakukan pada sesi latihan dan saya sedia bagi 100 peratus.

“Saya tak pasti lagi mengenai saingan di Solo kerana sudah lima tahun temasya ini tidak diadakan. Namun, saya seperti atlet lain, gembira temasya ini dapat dianjurkan pada tahun ini,” kata pemegang rekod dunia acara itu dengan lompatan sejauh 7.64m yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.

Sementara itu, pembawa Jalur Gemilang ke APG kali ini, Mohd Zikri Zakaria menyasarkan untuk merangkul pingat perak acara lontar peluru F55 (berkerusi roda) pada penampilan keduanya.

“Saya mampu capai sasaran ini sekiranya dapat memperbaiki teknik lontaran dan kawal perasaan saya kerana kurang pengalaman beraksi di APG,” katanya yang menunjukkan prestasi meyakinkan pada sesi latihan.

Mohd Zikri yang turut beraksi dalam lempar cakera dan merejam lembing pada edisi 2017 di Kuala Lumpur berkata, beliau memilih lontar peluru kerana mempunyai kelebihan dalam acara berkenaan ketika temasya berkenaan.

Edisi 2019 Filipina (pada awal 2020) dan 2021 Vietnam dibatalkan kerana pandemik Covid -19, menyaksikan Indonesia tampil menganjurkan edisi ke-11 temasya itu bermula 30 Julai hingga 6 Ogos di Solo.

– BERNAMA


Pengarang :