Lebih 20,000 kes jenayah siber direkodkan di Malaysia sepanjang 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jenayah dalam talian cecah 89,798 kes, nilai rugi RM3 bilion

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sebanyak 89,798 kes penipuan jenayah dalam talian dengan nilai kerugian hampir RM3 bilion direkodkan antara 2017 hingga Jun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed berkata kes tertinggi melibatkan pembelian dalam talian sebanyak 32,791, lapor Berita Harian.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 42,884 tangkapan dibuat dengan 25,891 dibawa kepada pertuduhan atas kesalahan terbabit,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, kerjasama dengan Bank Negara Malaysia diwujudkan bagi meminda Seksyen 116 Kanun Tata Jenayah yang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat membekukan akaun bank terlibat aktiviti jenayah.

Cadangan lain, katanya, meminda Seksyen 424 Kanun Keseksaan untuk menghukum pemegang bank akaun itu sendiri yang membenarkan kegunaan pihak ketiga bagi aktiviti tersebut.

Sebelum itu, wakil rakyat Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkongsi pengalaman ibunya, bekas kakitangan kerajaan ditipu dalam talian hingga simpanan RM75,000 dalam akaun Tabung Haji lesap Mac lalu.


Pengarang :