Orang ramai membeli pelbagai jenis barangan asas murah dalam Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha di Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah diterus hingga akhir tahun, manfaat puluhan ribu rakyat

KUALA LANGAT, 5 JULAI: Jualan murah barangan asas yang dimulakan sejak Disember 2021 diteruskan sehingga akhir tahun ini dengan memfokuskan tempat tertentu antaranya di agensi bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengurus Kanan Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Md Fazir Abdul Latif berkata pihaknya sedang menyusun lokasi dan tarikh bagi pelaksanaan inisiatif di bawah Program Intervensi Ehsan.

“Sebelum ini kita sudah selesai menjelajah ke semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dengan jualan berkonsepkan kecil-kecilan, mega dan kendera saji.

“Ia tidak akan terhenti di situ, sebaliknya kita sedang susun jadual hingga hujung tahun ini untuk buat jualan sama ada di hospital atau agensi-agensi kerajaan bawah PBT,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ditemui pada Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha di Taman Perwira, Sijangkang di sini, beliau berkata program yang berjaya memanfaatkan puluhan ribu rakyat di Selangor kini menjadi ikutan kerajaan persekutuan.

“Sekarang kerajaan persekutuan juga buat benda sama melalui Jualan Keluarga Malaysia. Sebenarnya Kerajaan Selangor melalui PKPS yang mendahului dalam inisiatif ini,” katanya.

Sejak Disember tahun lalu, PKPS menjalankan program jualan murah barangan asas di 64 lokasi seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.


Pengarang :