Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad (tiga, kiri) menerima cenderamata daripada Pengerusi Puspanita Selangor Datin Padiah Safian (dua, kiri) ketika bual bicara dan hi-tea Puspanita daerah Petaling bersama Pekawanis pada program Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Luang masa bersama dan ambil tahu rutin harian, erat hubungan keluarga

PETALING JAYA, 25 JULAI: Setiap individu perlu mencari masa untuk bersama keluarga dan mengambil tahu rutin harian masing-masing bagi memastikan hubungan kekal erat.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad berkata komunikasi juga merupakan medium penting dalam melahirkan keluarga bahagia.

“Sekiranya tiada masa cuba usaha cari waktu terluang sekurang-kurangnya kita perlu ada ruang untuk makan bersama keluarga walaupun sekali sehari.

“Setiap hari saya dan suami serta anak-anak wajib makan malam bersama…kerana sambil kita makan kita boleh cerita rutin harian masing-masing dan pada masa sama hubungan menjadi lebih erat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program bual bicara bertajuk ‘Keluargaku, Syurgaku’ dan Hi-Tea Puspanita daerah Petaling bersama Pekawanis pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini semalam.

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad ketika bual bicara dan hi-tea Puspanita daerah Petaling bersama Pekawanis pada program Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, menjadi ibu bapa dalam mendidik anak-anak masa kini adalah sesuatu amat mencabar dan memerlukan pendidikan keibubapaan yang sebaiknya.

Katanya, cabaran ibu bapa dalam perkara berkaitan juga adalah berbeza berbanding sebelumnya berikutan peredaran zaman dan kepesatan pembangunan dikecapi hari ini.

“Keibubapaan ini sebenarnya adalah proses hidup seseorang itu bermula. Ibu bapa adalah dunia pertama anak-anak dan hampir semua daripada kita belajar mengenal dunia dan hidup daripada ibu bapa.

“Justeru, penting untuk kita sentiasa tahu apa anak buat dan usaha untuk memantau mereka termasuk menggunakan gajet ke arah mana supaya ia tidak disalah guna,” katanya.


Pengarang :