Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam program Khayra Ummah sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Budaya ‘troll’ dalam masyarakat semakin membimbangkan, perlu dibendung

PETALING JAYA, 24 JULAI: Budaya provokatif di media sosial atau ‘troll’ dengan penghinaan tanpa batasan dalam kalangan masyarakat semakin membimbangkan.

Dato’ Menteri Besar berkata agama secara jelas melarang perbuatan berkenaan kerana menimbulkan situasi tidak sihat yang boleh memecah belahkan masyarakat.

“Muktahir ini kita berdepan budaya memperolok yang semakin terbuka. Orang jatuh diperolok, ditimpa musibah pun diperolok. Namanya kini dikenali sebagai ‘troll’.

“Dianggap sebagai memperlekeh, mungkin ada yang betul ada yang salah tetapi akhirnya ia menimbulkan suasana tidak tenteram dalam masyarakat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berucap dalam program Bicara Khayra Ummah di Masjid Jumhuriah Taman Dato’ Harun, di sini Amirudin berharap budaya itu dapat dibendung bagi membentuk semula masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan saling sayang menyayangi.

“Dalam surah al-Hujuraat jelas kita dilarang memperolok, kita dilarang untuk merasakan diri kita lebih atas dari yang lain, dilarang umpat-mengumpat antara satu sama lain.

“Ini semua larangan jelas bagaimana kita ingin melahirkan sebuah masyarakat yang prihatin dan saling sayang menyayangi,” katanya.


Pengarang :