Suasana kemalangan yang berlaku di Tambak Johor membabitkan sebuah lori yang merempuh kenderaan lain pada 7 Julai 2022. Foto Facebook Community Roda Johor
AGENDAJENAYAH

Pemandu lori mengaku tidak bersalah rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor

JOHOR BAHRU, 18 JULAI: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan 11 kenderaan lain di Tambak Johor, awal bulan ini.

Amir Hasan Jalani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Tertuduh didakwa memandu kenderaan itu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan tersebut di Jalan Tambak Johor di sini, kira-kira 9.25 pagi, 7 Julai lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama syarikat Level Hill Auto Parts Sdn Bhd sebagai pengendali lori tersebut menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana membawa lebih muatan daripada yang dibenarkan.

Lori yang dipandu Amir Hasan itu didakwa membawa muatan seberat 91,240 kilogram setelah ditimbang iaitu melebihi 50,240 kilogram bersamaan 122.5 peratus daripada had muatan yang dibenarkan iaitu 41,000 kilogram.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Amir Hasan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala syarikat berkenaan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala tertuduh dan syarikat tersebut diwakili peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon.

Media sebelum ini melaporkan pemandu lori itu ditahan pada 1.15 tengah hari pada hari sama kejadian dan hasil siasatan pihak polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu itu.

Sebanyak 12 kenderaan terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Tambak Johor menghala ke Singapura itu, enam daripadanya kenderaan tempatan manakala enam lagi kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.

-BERNAMA


Pengarang :