Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rancangan Selangor garis 14 petunjuk, bawa keseimbangan kualiti hidup

SHAH ALAM, 27 JULAI: Dato’ Menteri Besar hari ini buat julung kali dalam sejarah negeri membentang Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan RS-1 menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat.

Beliau berkata sasaran itu meliputi usaha mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6.5 hingga 7.0 peratus setahun dan pelaburan sehingga RM35 bilion setahun.

Menurutnya, tumpuan lain termasuk penembusan jalur lebar tetap bagi setiap 100 premis pada kadar 70 peratus dan mewujudkan peluang kerja kepada 3.8 juta orang.

“RS-1 bukan sahaja beriltizam mencapai sumbangan 30 peratus KDNK negara menjelang 2025, tetapi the golden balance (keseimbangan hakiki) antara pertumbuhan ekonomi dan penambahbaikan taraf kualiti hidup rakyat.

“(Ia) akan mengurangkan ketidaksamaan ini dengan menyediakan apa yang diperlukan rakyat di lokaliti seluruh Selangor, terutama kawasan yang mengalami pembandaran rancak,” katanya ketika membuat pembentangan dalam sidang Dewan di sini.

Amirudin berkata pelan itu merangkumi cabaran seperti perumahan mampu milik selain penyampaian perkhidmatan yang berkesan berteras konsep negeri berdaya huni.

Beliau menjelaskan rancangan tersebut meliputi empat tema strategi, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif menerusi 19 pemacu perubahan.

Sasaran utama lain yang ingin dicapai menjelang 2025 adalah:

  • Median pendapatan isi rumah dianggarkan RM9,290 sebulan
  • Mengurangkan peratus kemiskinan mutlak kepada 0.7 peratus
  • Mengurangkan peratus kemiskinan relatif kepada 11 peratus
  • Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga pada skala 8.0
  • Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau 35 peratus berdasarkan intensiti pada 2005
  • Jaminan bekalan air bersih harian
  • Meningkatkan kadar kitar semula sisa bahan buangan kepada 15 peratus
  • Penyelesaian projek RS-1 berimpak tinggi pada tahap 100 peratus berdasarkan kemajuan semasa
  • Penarafan 10 kedudukan teratas bagi pihak berkuasa tempatan dalam peringkat kebangsaan
  • Pendigitalan 85 peratus perkhidmatan kerajaan berbentuk hujung ke hujung


Pengarang :