Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli berucap merasmikan Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 12 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor, OUM teruskan kerjasama buka ruang kepada wanita timba ilmu

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kerajaan Negeri meneruskan kerjasama strategik dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) bagi menjayakan Biasiswa Wanita Selangor kohort kedua.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar berkata usaha sama itu selaras matlamat meningkatkan sosio ekonomi wanita dan penyertaan golongan terbabit dalam kepimpinan serta pembuat keputusan.

Juwairiya Zulkifli memaklumkan institusi berkenaan menjadi rakan kongsi sejak tahun lalu bagi merealisasikan agenda pendidikan sepanjang hayat dalam kalangan wanita negeri ini.

“Objektif tersebut akan dicapai melalui program pendidikan berterusan yang ditawarkan OUM. OUM membolehkan pendidikan kepada semua masyarakat terutama individu berkerjaya dan berkeluarga,” katanya.

Beliau membacakan teks ucapan Dato’ Seri Amirudin Shari sempena majlis penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor kohort dua bagi program pembelajaran sepanjang hayat di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam.

Juwairiya berkata institusi pendidikan swasta itu berjaya mengetengahkan paradigma baharu pendidikan bercorak massa, global dan berpanjangan selari istilah ‘pendidikan sepanjang hayat’.

“(Konsep baharu pendidikan) ini membuka peluang dan ruang yang luas kepada setiap masyarakat untuk menyambung pengajian,” katanya.

Beliau yang juga wakil rakyat Bukit Melawati memaklumkan peruntukan RM200,000 setahun bagi pemberian biasiswa berkenaan adalah pelaburan jangka panjang untuk terus memberdaya wanita.

“Tajaan pengajian melibatkan program diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah bagi meningkatkan kadar wanita memperoleh pendidikan tinggi di negeri ini,” katanya lagi.


Pengarang :