Pemandangan Stadium Shah Alam yang merupakan salah satu mercu di Selangor dirakamkan dari atas. Foto Wikipedia
AGENDANASIONAL

Stadium kalis usang beri nafas baharu kompleks sukan negeri

SHAH ALAM, 27 JULAI: Projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menumpukan pembinaan stadium kalis usang dengan kemudahan berciri teknologi baharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berterap kelestarian persekitaran itu dibuat mengambil kira keadaan stadium yang perlu diberi nafas baharu.

“Projek pemacu perubahan Stadium Shah Alam tentunya menggamit nostalgia dan emosi terutamanya penyokong pasukan Merah Kuning,” katanya dalam pembentangan Rancangan Selangor Pertama hari ini.

“Kerajaan Negeri berpandangan sudah tiba masanya stadium dan lingkungannya diberi nafas baharu.”

Jelasnya, beberapa faktor utama kejayaan projek turut dikenal pasti antaranya prestasi pemaju dalam menyiapkan stadium dan kemudahan sukan selain kerjasama dengan pihak berkepentingan.

“Koordinasi bersama pihak berkepentingan dalam memastikan keperluan Selangor dipenuhi. Kita menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM8 hingga 13 bilion,” kata Amirudin.

Kerajaan Selangor sebelum ini berbelanja RM56 juta antara 2013 hingga 2022 bagi menyelenggara dan membaiki kerosakan di stadium berkenaan.


Pengarang :