Orang ramai mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Taman aero lonjak status negeri sebagai hab aeroangkasa global

SHAH ALAM, 27 JULAI: Taman Aero Antarabangsa Selangor (SAP) diwujud bagi memastikan negeri ini dan Malaysia menjadi hab aeroangkasa di peringkat global khususnya Asia Tenggara.

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, usaha itu selaras matlamat Kerajaan Negeri yang digariskan dalam Rangka Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030.

Jelasnya, negeri turut mewujudkan Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor berkeluasan 27,960 hektar di sekitar Sungai Klang dengan anggaran pelaburan RM2.2 bilion.

“Malaysia mempunyai ekosistem aeroangkasa yang komprehensif. Dianggarkan 63 peratus daripada 240 syarikat aeroangkasa dan berkaitannya berpangkalan di Selangor sekali gus menjadikan negeri ini sebagai hab aeroangkasa,” katanya.

Pembangunan hab aeroangkasa sebahagian daripada intipati teras satu Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Bermula tahun lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Pameran Udara Selangor di Subang bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Edisi kedua penganjuran acara itu dijadual berlangsung selama tiga hari mulai 8 September ini dengan sasaran potensi nilai transaksi RM700 juta.

Antara syarikat yang mengesahkan penyertaan ialah Sapura Aero, Destini Avia Technique, Epic Aero, DJI Academy, Superb Access, BCS Aviation, Sirim dan International Aero Training Academy.


Pengarang :