Fasa pertama projek pembangunan Rumah Idaman di Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang siap sepenuhnya awal Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia pelbagai program untuk B40, M40

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif yang bukan hanya menumpu golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi turut merangkumi M40.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program terbabit meliputi Skim Mikro Kredit Hirah Selangor, Skim Rawatan Jantung, Saring Selangor dan pembangunan rumah mampu milik.

“Manakala, program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bukan hanya untuk B40 tetapi semua kelompok layak menerima inisiatif ini… jumlah penerima kini kira-kira 82,000 dan hampir 40 peratus daripadanya terdiri dalam kalangan M40.

“Malah, pembinaan Rumah Idaman, Rumah Selangorku dan Rumah Harapan juga tidak terhad kepada B40 semata tetapi M40 turut layak membeli kediaman ini dengan syarat pendapatan RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan bertulis wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung insentif kepada golongan M40 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin menjelaskan M40 turut menikmati antara 40 hingga 50 peratus kos yang ditanggung di Institut Jantung Negara atau hospital menerusi program Skim Rawatan Jantung.

“Sejak tahun 2016 memang program kita mendekati kelompok M40 dan sebahagiannya adalah untuk memperkasakan mereka,” katanya.


Pengarang :