Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab pada seminar Pathway to a better future for Malaysia anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) di Hotel Dorsett Grand Subang, Subang Jaya pada 25 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN sedia kerangka bina semula negara, tumpu penyatuan rakyat

SUBANG JAYA, 25 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyediakan satu kerangka besar dan menyeluruh bagi membina semula Malaysia sebagai negara yang kukuh sektor ekonominya.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan kerangka turut menekankan aspek penyatuan rakyat, sektor pendidikan, alam sekitar dan perubahan iklim serta nilai kemanusiaan.

“Hari ini kita lontarkan idea dan pandangan penting untuk majukan negara. Jadi kita akan sediakan kerangka untuk kemampanan ekonomi negara, kelestarian alam sekitar dan rakyat berkasih sayang.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada tonggaknya (pentadbiran) yang perlu tata kelola yang baik. Tanpa ini (tatakelola yang baik), masalah tak selesai, negara tak akan maju malah mendatangkan masalah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berucap di seminar Pathway To Be A Better Future For Malaysia anjuran Institut Darul Ehsan hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata kerangka berkenaan juga harus menitikberatkan keyakinan rakyat kepada perjuangan dibawa parti.

“Ini lebih penting daripada material. Ini nilai makruf, kebaikan yang dibawa. Ada yang kata ini hanya andaian, biarkanlah. Ini langkah keselamatan negara,” katanya.


Pengarang :