Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada 28 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu pulihara Tasik Chini, ceroboh data peribadi antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Isu pemuliharaan Tasik Chini, Pahang dan jenayah pencerobohan data peribadi dijangka menjadi antara tumpuan pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai tindakan kerajaan bagi merawat dan memulih kembali kawasan Tasik Chini agar tidak dilucutkan status Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) diajukan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut tersenarai, soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang mahu Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan perancangan kementerian untuk meminda beberapa fasal dalam Akta Perlindungan Data Peribadi bagi menangani jenayah pencerobohan hampir 100 juta data peribadi.

Pada sesi soal jawab pula, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) bertanyakan Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai status pemberian tablet melalui program PerantiSiswa dan maklumat terkini jumlah tablet yang bakal diagihkan kepada pelajar daripada golongan B40.

Selain itu, soalan berhubung inisiatif kerajaan membantu mahasiswa yang tercicir dan tidak dapat meneruskan pengajian atau terpaksa menangguhkan pengajian akibat pandemik Covid-19 diajukan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) kepada Menteri Pengajian Tinggi.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi pembentangan bacaan kali pertama bagi Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 diikuti Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2022.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari bermula 18 Julai lepas.

– BERNAMA

 


Pengarang :