Pemandangan Stadium Shah Alam yang merupakan salah satu mercu di Selangor dirakamkan dari atas. Foto Wikipedia
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Stadium Shah Alam tidak boleh diguna sepenuhnya sejak 2020

SHAH ALAM, 4 OGOS: Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan sepenuhnya sejak 2020 berikutan kerosakan pada bahagian bumbung, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada 2019, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan stadium itu tidak lagi selamat dan Kerajaan Negeri terus mencari penyelesaian dengan merujuk kepada laporan dibuat pada 2013.

“Laporan tersebut bukan penilaian syarikat tetapi jawatankuasa khas ditubuh Kerajaan Negeri diketuai Jabatan Kerja Raya Selangor.

“Stadium tidak boleh digunakan sepenuhnya pada 2020 sebab bumbung tidak bertahan lama. Sebelum itu masih boleh seperti (untuk) pertandingan akhir Piala Malaysia dan Sultan Selangor Cup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan usul RS-1 pada sidang Dewan Negeri Selangor Selasa lalu.

Berhubung kerja menaik taraf, Amirudin berkata Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM600,000 untuk membaiki Stadium Shah Alam bagi pertandingan Sukan Sea pada 2017.

“Masa itu Kerajaan Pusat menawarkan RM400,000 tetapi kita buat keputusan untuk menggunakan peruntukan sendiri menggantikan bumbung.

“Ini berkaitan menggantikan bumbung stadium, bukan rumah. Stadium mempunyai sistem dan rangkaiannya yang perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Pada 15 Julai, Amirudin dalam sidang akhbar berkata Kerajaan Selangor menganggarkan kos menaik taraf Stadium Shah Alam menelan belanja terlalu besar membabitkan RM787 juta.


Pengarang :