Keadaan trafik yang tidak bergerak selepas Terowong Menora ke Ipoh akibat lori membawa muatan tin sardin yang terbalik pada 3 Ogos 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lori muatan sardin terbalik sebabkan laluan Lebuhraya Plus terhalang

IPOH, 3 OGOS: Laluan di Kilometer (km) 265.9 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dari Terowong Menora ke Ipoh terhalang akibat kemalangan lori membawa muatan tin sardin yang terbalik tengah hari tadi.

PLUS Malaysia Berhad (Plus) menerusi laman Twitter memaklumkan kejadian pada kira-kira pukul 12.43 tengah hari tadi menyebabkan semua lorong terhalang dan pengguna lebuh raya diminta menggunakan laluan alternatif.

“Trafik terhenti tiga kilometer. Semua kenderaan dari utara yang ingin ke selatan telah dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar.

“Laluan kontra kemudian diaktifkan bermula Km 267.0 hingga Km 265.1 arah utara dan trafik perlahan. Patuhi arahan papan tanda,” ciapnya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati muatan tin sardin yang pecah bertaburan atas semua lorong di tempat kejadian menyebabkan jalan ditumpahi kuah berwarna merah dan kerja-kerja mengalihkan lori terbabit masih dijalankan ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi berkata laluan ke arah selatan ditutup sepenuhnya berikutan kemalangan melibatkan lori yang terbalik melintang di atas jalan dan akan dibuka semula selepas insiden selesai.

-BERNAMA


Pengarang :