Orang ramai mengiring keranda jenazah Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB sifatkan Allahyarham Abdul Khalid pemimpin tegas, utama masa

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dato’ Menteri Besar menyifatkan Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang tegas dan sentiasa mengutamakan masa.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui berkata setiap tindak-tanduk Allahyarham menjadi teladan kepada sesiapa yang pernah bekerja dengan beliau.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan Allahyarham selama ini…saya sendiri pernah terlibat secara langsung dengan beliau sekitar tahun 2008 hingga 2012 dalam pentadbiran sukan selaku pembantu EXCO ketika itu.

“Ketika itu saya bertemu secara langsung dengan beliau dan saya melihat tindakan dan arahan beliau itu sememangnya menjadi pedoman berharga kepada sesiapa yang pernah bekerja dengannya termasuk saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin turut memuji jasa dan pengorbanan Allahyarham yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran, pengurusan dan melakukan pelbagai perubahan besar dalam pentadbiran Selangor ketika menjadi Menteri Besar lalu.

“Jasa Allahyarham termasuk mengilhamkan pembinaan pengupayaan semula pembangunan di sekitar Sungai Klang itu juga amat dihargai malah ia masih diteruskan pihak Kerajaan Negeri sehingga kini, di samping memperkenalkan agenda pro rakyat.

“Oleh itu, bagi pihak Kerajaan Selangor saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga semoga tabah menghadapi musibah ini dan semoga roh Allahyarham dirahmati Allah,” katanya lagi.

Allahyarham Abdul Khalid meninggal dunia jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur akibat jangkitan pada injap jantung.

Atas titah dan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini.

Allahyarham yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor meninggalkan seorang isteri Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak serta dua cucu.


Pengarang :