Usahawan Hijrah Selangor Jasmani Ag Alli menunjukkan kain Saree yang turut dijual di kedai pakaian dan tekstil Z Niey Empire Collections, Rawang pada 4 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pantang mengalah, usahawan pajak emas bina semula perniagaan

Remuk hati apabila impian menjadi pengasas produk kecantikan berkecai. Sudahlah rugi RM100,000, terpaksa pula berhadapan pelbagai kecaman di Facebook.

Peristiwa hitam 2018 itu masih segar dalam ingatan. Entah di mana silapnya, muka beberapa pelanggan seperti terkena selaran matahari, gatal dan kulit mengelupas selepas menggunakan alat solek keluarannya.

Enggan lari daripada tanggungjawab, Jasmani Ag Alli menabahkan hati berhadapan dengan kecaman bertali arus di media sosial dan cuba menjawab sehabis baik.

Kilang yang menghasilkan alat solek keluarannya mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Malah sebelum produknya memasuki pasaran, wanita berumur 38 tahun itu sendiri mencuba dan tiada kesan sampingan pada kulit mukanya.

“Saya pakai tak ada masalah, mungkin disebabkan jenis kulit berbeza dan tahap alahan masing-masing berbeza sebab itulah tak beri kesan pada muka saya.

“Kena tular sampai menangis. Mana nak sorok muka tetapi saya tahan sahajalah, kuatkan semangat, hadap juga pelanggan. Saya minta mereka berhenti guna alat solek saya dan saya juga berhenti jual produk saya,” katanya.

Walau gagal dalam perniagaan produk kecantikan pada 2018, Jasmani tidak berputus asa. Dia menggadaikan barang kemas miliknya dan mendapat RM5,000.

Dari situlah Jasmani mengasaskan ZNiey Empire Collections pada Jun 2019 dan kembali dalam dunia perniagaan. Kali ini dia berniaga sebagai pembeli peribadi kain ela yang dibeli di Indonesia dan Vietnam.

“Masa itu saya hanyalah ‘personal shopper’ (pembeli peribadi), ambil tempahan di Facebook, ada yang mahu dua meter, tiga meter. Bawa beg 30 kilogram, balik dan minggu depan pergi lagi. Begitulah berulang-ulang,” katanya ketika ditemui Selangorkini di premis ZNiey Empire Collections di Rawang, Gombak pada 4 Ogos lalu.

Daripada keuntungan sebagai pembeli peribadi, wanita kelahiran Pasir Puteh, Kelantan yang sudah 18 tahun menetap di Selangor memberanikan diri membeli lebih banyak kain sehingga mencecah 50 meter untuk dijadikan stok perniagaan di rumah.

Beliau turut membuat pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sebanyak RM5,000 bagi mengukuhkan lagi modal pusingan.

Selepas enam bulan berniaga, beliau pada Januari 2020, menyewa sebahagian ruang kedai di Selayang pada kadar RM2,000 sebulan.

Sekali lagi beliau membuat pinjaman Hijrah sebanyak RM30,000 bagi membiayai ubah suai kedai baharunya.

Kilang pukal

Tiga bulan selepas kedai barunya beroperasi, tanpa disangka pada Mac 2020, Covid-19 datang menyerang dan kedainya terpaksa ditutup. Namun wanita berhati waja itu tidak mahu mengalah.

“Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya bekerja keras pertahankan perniagaan. Saya buat dalam talian, buat jualan dengan bersiaran langsung di Facebook. Sehari tiga atau empat kali bersiaran langsung.

“Alhamdullilah sehari saya dapat buat 50 penghantaran. Sebulan dapatlah jualan RM60,000. Masa itu kira banyak sebab belum ada pekerja. Sayalah buat siaran langsung Facebook, sayalah pemasaran, potong kain, model, semua sendiri,” katanya.

Enam bulan kemudian, bekas kerani akaun syarikat penjual kereta terpakai ini menyewa kedai di Selayang dengan bayaran RM6,000 sebulan dan mengambil beberapa pekerja.

Pekerja sedang memasukkan barangan jualan kedalam bungkusan sebelum membuat pengahantaran kepada pelanggan di kedai pakaian dan tekstil Z Niey Empire Collections Rawang pada 4 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Apabila PKP semakin longgar, Zniey Empire Collections membuka sebuah lagi kedai di Pusat Perniagaan Reef, Rawang, Gombak. Hasilnya jualan runcit meningkat sehingga mampu meraih lebih RM100,000 sebulan.

Pada 2022, ZNiey Empire Collections mempelbagaikan portfolio perniagaan dengan membuka kilang jahit pukal dan kedai jahit menerusi pinjaman Hijrah kali ketiga sebanyak RM70,000.

Awalnya, kilang jahit pukal terbabit hanya ada lima mesin jahit terpakai yang dibeli pada harga RM35,000. Kemudian mesin jahit ditambah sehingga 15 kesemuanya.

Jasmani juga mempunyai 18 pekerja di kilang jahit pukal itu. Manakala pelanggan perniagaannya terdiri daripada pasaraya pakaian dan tudung seperti Muaz dan Pari.

Sementara itu, kedai jahit untuk tempahan perseorangan pula mempunyai enam buah mesin dengan empat pekerja dan kedainya pula terdapat empat pekerja menjadikan seramai 26 pekerja keseluruhan.

Kini beliau merancang untuk mengeluarkan tudung dan pakaian di bawah jenama sendiri dengan hasrat menambah satu lagi kilang dan premis jualan di Rawang, Gombak.


Pengarang :