Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peniaga sayur tetak kepala majikan dipenjara dua tahun

SHAH ALAM, 15 OGOS: Seorang peniaga sayur dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menetak kepala majikan wanita menggunakan parang, Julai lalu.

Tertuduh E Thomas Gabriel Gomez, 22, bertindak demikian akibat tidak berpuas hati ditampar majikannya selepas bersikap biadap terhadap rakan sekerja lain, lapor Berita Harian.

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menetapkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 24 Julai lalu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mengikut fakta kes, majikan tertuduh A Utaiya Sangkar, 33, berjumpanya untuk berbincang tuntutan gaji di hadapan pusat pembuangan sampah di Pasar Borong Kuala Lumpur pada 23 Julai.

Bagaimanapun, Thomas tidak berpuas hati kerana mangsa menamparnya dua minggu sebelum itu akibat bersikap biadap terhadap rakan sekerja dan tertuduh kemudian diberhentikan kerja.

Ketika berbincang, tertuduh menetak kepala mangsa dengan parang beberapa kali sebelum melarikan diri tetapi ditahan polis beberapa jam selepas itu di pekarangan Balai Polis Salak Selatan.

Berdasarkan laporan doktor, mangsa yang dirawat di Hospital Selayang berada dalam keadaan separa sedar dan terdapat kesan tetakan di kepala, bahu kiri serta jari tangan kiri.

 


Pengarang :