Penggunjung melawat Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang pada 9 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor naib juara pavilion terbaik MAHA 2022

SHAH ALAM, 15 OGOS: Selangor muncul naib juara dalam acara pavilion negeri terbaik sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2022 yang melabuhkan tirai semalam.

EXCO pertanian dan industri asas tani berkata Pavilion Selangor mengetengahkan projek yang bertepatan dengan tema Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan sepanjang 11 hari pameran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Ir Izham Hashim memaklumkan ia membabitkan program pertanian bernilai tinggi, inovasi tanaman dan akuakultur serta projek kajian dan penyelidikan (R&D) hingga menembusi pasaran.

“Selain itu, Pavilion Selangor mengetengahkan keterlibatan golongan muda dalam sektor pertanian termasuk pameran produk pemenang Ikon Agro Selangor 2021.

“Maklumat berkaitan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) turut dikongsikan, khidmat nasihat kepada pengunjung dan perjumpaan bersama pengusaha sektor pertanian bagi mendengar pandangan meningkatkan hasil pertanian negeri,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata Pavilion Selangor juga memperkenalkan konsep Selangor Agro Mart (SAM) yang menampilkan 200 jenis produk industri asas tani oleh 48 pengusaha.

Tambahnya, Cafe Kopi Kanchong Darat yang beroperasi di Kuala Langat turut dipromosikan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

“Ramai pengunjung bertanyakan mengenai produk berkenaan yang secara tidak langsung memperkenalkan salah satu kawasan di daerah terbabit,” katanya lagi.

Kejayaan itu melayakkan Pavilion Selangor membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000. Johan dimenangi Pavilion Perak manakala ketiga Pavilion Kedah.

MAHA 2022 bermula pada 4 Ogos merupakan pameran pertanian terbesar dan berprestij yang menghimpunkan 1,500 gerai pempamer dengan potensi nilai jualan lebih RM250 juta.

Sebanyak lapan laman disediakan antaranya pertanian dan penternakan selain menampilkan 22 segmen dengan tarikan tersendiri.


Pengarang :