Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pusat asuhan di tempat kerja mampu jadi tarikan wanita terus bekerja

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kebimbangan wanita bekerja terhadap keselamatan anak mampu ditangani jika majikan membuka pusat asuhan kanak-kanak di pejabat.

Usahawan Noor Fazmira Zulkifli, 30, berkata pendekatan itu adalah wajar supaya wanita yang memiliki anak kecil mampu memantau keselamatan anak mereka secara dekat.

Noor Fazmira Zulkifli

“Ia juga menjimatkan masa kerana tidak perlu bersusah-payah menghantar anak ke pusat jagaan lain yang mungkin agak jauh dari tempat kerja. Malah kos juga dapat dikurangkan setiap bulan.

“Keutamaan adalah keselamatan anak. Kita tidak minta perkara buruk berlaku, tetapi sekiranya anak tiba-tiba demam atau jatuh sakit, mudah untuk kita membawanya ke klinik,” katanya kepada Selangorkini.

Pekerja kedai jambangan bunga, Ramadhani Safitri Zainal, 29, pula berkata dia dapat dapat memberi sepenuh komitmen terhadap tugasnya jika pusat asuhan kanak-kanak dibuka di tempat kerja.

“Biasanya kalau anak pulang dari sekolah, saya masih bekerja di kedai. Jadi adalah lebih baik pusat asuhan dibuka di tempat kerja supaya dia boleh duduk di situ sementara saya habis waktu kerja.

“Lagipun mudah jika anak ada depan mata. Jika berlaku perkara tidak diingini misalnya demam, kita boleh bawanya terus ke klinik,” katanya yang mempunyai anak lelaki berusia lima tahun.

Ramadhani Safitri Zainal

Dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai lalu mencadangkan pemberian insentif kepada syarikat yang membuka pusat asuhan kanak-kanak di pejabat bagi memudahkan pekerja wanita.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan itu dapat mendorong lebih ramai wanita kekal bekerja seterusnya menyumbang sasaran 75 peratus penyertaan golongan itu dalam pasaran kerja menjelang 2025.

Inisiatif itu dimulakan dengan agensi, anak syarikat Kerajaan Negeri selain mewajibkan penyediaan pusat asuhan kanak-kanak serta bilik khas untuk penyusuan bayi di semua premis pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :