Ekspo Hartanah Malaysia Shah Alam/Kuala Selangor 2022 berlangsung dari 11 hingga 14 Ogos 2022 di Central i-City, Shah Alam. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

RS-1: Rehda Selangor sedia bina lebih banyak rumah mampu milik

SHAH ALAM, 12 OGOS: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Selangor bersedia membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini.

Pengerusinya Datuk Zaini Yusoff berkata ia sejajar dengan pembentangan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) oleh Dato’ Menteri Besar baru-baru ini.

“Rehda Selangor sedia menyahut saranan Kerajaan Negeri yang mahu lebih banyak rumah mampu milik dibina bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Lagipun, setiap pemaju di negeri ini dikenakan syarat membina rumah mampu milik pada kadar 50 peratus daripada keseluruhan projek dan selebihnya rumah pada harga bebas (pasaran),” katanya dalam sidang media Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Shah Alam/ Kuala Selangor 2022 di Central i-City hari ini.

Datuk Zaini Yusoff

Pada masa sama, Zaini berkata, pihaknya juga sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia serta institusi kewangan berhubung isu pinjaman perumahan.

“Kita sering bermesyuarat dan meminta mereka (Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan) melonggarkan syarat kelulusan pinjaman terutama bagi permohonan rumah mampu milik.

“Menerusi pertemuan ini, kami berharap pihak bank akan mempertimbangkan permintaan Rehda supaya lebih ramai dapat memiliki rumah,” katanya.

Ketika pembentangan RS-1, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pemilikan rumah mampu milik di Selangor menghadapi tiga isu utama antaranya ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan untuk saiz dan jenis rumah serta kesukaran dalam mendapatkan pembiayaan.

Oleh demikian, dalam membantu rakyat memiliki kediaman selesa, Kerajaan Negeri akan meningkatkan pembinaan Rumah Idaman dan Rumah Selangorku Harapan serta meneroka bentuk kerjasama dengan institusi kewangan terutama perbankan bagi menyelesaikan isu pembiayaan perumahan.


Pengarang :