EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (dua, kanan) melawat kiosk pempamer yang menyertai Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto Facebook Rodziah Ismail
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RS-1 tumpu usaha bantu usahawan tingkat pendapatan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang minggu lalu menumpukan usaha menggalak aktiviti dan mempelbagai program bantuan keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

EXCO pembangunan usahawan berkata teras satu bertemakan pengukuhan ekonomi yang terkandung dalam rancangan pembangunan lima tahun itu selari dengan usaha membasmi kemiskinan.

“RS-1 juga menggariskan kesinambungan pelbagai skim pembiayaan mikro antara RM1,000 dan RM10,000 dengan syarat pembayaran balik yang mudah serta tidak membebankan dalam tempoh enam hingga 36 bulan,” kata Rodziah Ismail pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Beliau turut mengesyor usahawan mikro, kecil dan sederhana meneroka pelbagai peluang dalam sembilan bidang tumpuan melalui teras berkenaan meliputi pelabuhan dan logistik, pelancongan, ekonomi digital dan aeroangkasa.

Katanya, bidang lain termasuk automotif, elektrik dan elektronik serta jentera dan kejuruteraan, industri halal, sains hayat dan agroteknologi.

RS-1 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

RS-1 turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.


Pengarang :