Dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan bawah Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian. Foto ihsan Kumpulan Semesta Sdn Bhd
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sistem pintar urus, baiki jalan rosak dengan cepat diperluas semua PBT

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selgem Sdn Bhd (Selgem) memperluas sistem pengurusan aset jalan pintar yang mula beroperasi awal tahun ini ke seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pegawai Kanan Sistem Informasi Geografinya Ahmad Afiq Aiman Abdullah berkata buat masa ini beberapa PBT berminat menggunakan perisian yang dibangunkan anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

“Sistem ini mengambil masa enam bulan untuk siap. Ia melalui proses latihan dan percubaan sebelum diguna pakai konsesi lantikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di setiap daerah bagi memantau, mengenal pasti serta membaiki jalan rosak bermula awal tahun ini.

“Jadi kita mahu kembangkan sistem ini ke PBT. Secara dasarnya ada (PBT) setuju hasil daripada pembentangan dibuat, namun segala kelulusan bergantung kepada mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata orang awam boleh membuat aduan kualiti jalan dan bentuk muka bumi secara bergambar melalui sistem terbabit termasuk Twitter.

Ahmad Afiq menambah kaedah pelaporan aduan juga mungkin akan diperluas ke media sosial lain seperti Facebook.

“Sekarang kita fokus Twitter dulu memandangkan platform media sosial ini lebih terbuka, pantas dan mudah untuk diulang kicau (retweet). Buat masa sekarang, pengguna boleh menyertakan tanda pagar #infrasel #daerah #namajalan.

“Sebelum ini kita juga menguar-uarkan fungsi dan cara membuat laporan dengan betul kepada orang ramai ketika lima siri Jelajah Selangor Penyayang,” katanya lagi.

Dibangunkan melalui tenaga pakar tempatan, sistem yang dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 16 Mac lalu menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengesanan dan perluasan cahaya (LiDAR).

Turut dilengkapi dron pintar dan kamera 360 selain merangkumi proses pengecaman kerosakan jalan seperti lubang secara automatik, pendigitalan aliran kerja dan aduan.

 


Pengarang :