Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat Pameran Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional sempena Hari Terbuka Yayasan Raja Muda Selangor 2022 di Kolej Komuniti Selayang, Gombak pada 24 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tengku Amir Shah berkenan rasmi Hari Terbuka Yayasan Raja Muda Selangor

SELAYANG, 24 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan merasmikan Hari Terbuka Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) di Kolej Komuniti Selayang di sini hari ini.

Ketibaan Tengku Amir Shah disambut Pengerusi YRMS Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda dan Pengarah Kolej Komuniti Selayang Mohd Ruzi Hamzah.

Baginda kemudian melawat pempamer yang disertai pelajar sekolah dan kolej selain menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara YRMS dan empat institusi pengajian tinggi yang bekerjasama sejak 2018.

Institusi tersebut ialah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan Selangor, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC).

Tengku Amir Shah juga berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pertandingan itu menyaksikan Shafirul Khusyairi Ahmad Raduan daripada Akademi Sulam Emas dianugerahkan Ikon Pelajar YRMS.

Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur serta Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur pula masing-masing menjuarai kategori kolej dan sekolah.

Tempat kedua kategori kolej dimenangi Kolej Komuniti Selayang yang membawa pulang wang tunai RM2,000 manakala Kolej Komuniti Kepala Batas di tempat ketiga memperoleh wang tunai RM1,000.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  USJ 8 pula membawa pulang wang tunai RM1,000 apabila menduduki tempat kedua kategori sekolah manakala SMK Bukit Indah di tempat ketiga memenangi wang tunai RM500.

Sementara itu, Shafirul Khusyairi, 30, ketika ditemui berkata beliau tidak menyangka dinobat sebagai ikon pelajar dan menyifatkan anugerah tersebut cukup bermakna dalam kehidupannya.

“Anugerah ini memberi semangat dan menjadi pendorong untuk membuka butik sendiri dan meneruskan kelas-kelas serta kursus dalam kelas jahitan,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan hadiah Ikon Pelajar Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) kepada pelajar Akademi Sulam Emas Shafirul Khusyairi Ahmad Raduan sempena Hari Terbuka Yayasan Raja Muda Selangor 2022 di Kolej Komuniti Selayang, Gombak pada 24 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :