Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan sumbangan yang disampaikan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Worldwide Holdings Raja Farah Diba Raja Abdul Rashid kepada Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda di Kolej Komuniti Selayang, Gombak pada 24 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Worldwide Holdings sumbang RM200,000 kepada Yayasan Raja Muda Selangor

SELAYANG, 24 OGOS: Worldwide Holdings Berhad menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM200,000 kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).

Sumbangan disampaikan Ketua Bahagian Komunikasi Korporatnya Raja Farah Diba Raja Abdul Rashid kepada Pengerusi YRMS Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda dengan disaksikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Menurut Raja Farah Diba, sumbangan itu membolehkan YRMS melaksanakan aktiviti memperkasakan masyarakat kurang bernasib baik khususnya golongan belia melalui penajaan program dan latihan.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah peningkatan kemahiran teknikal pelajar kurang berkemampuan melalui latihan berasaskan kemahiran di institusi vokasional dan sumbangan peralatan pembelajaran.

“Sumbangan ini bakal memanfaatkan 221 individu dan lapan institusi kebajikan. Kami komited terus memperkasa komuniti menerusi inisiatif pendidikan, pembangunan dan kesejahteraan komuniti,” katanya selepas menghadiri Hari Terbuka YRMS 2022 di Kolej Komuniti Selayang yang dirasmikan Tengku Amir Shah.


Pengarang :