Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berucap pada Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM di Putrajaya pada 2 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPRM tawar latihan asas cegah rasuah kepada agensi penguat kuasa

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sedang membangunkan program pengajian berakreditasi iaitu Certificate In Basic Law Enforcement untuk ditawarkan kepada semua agensi penguat kuasa selain SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata program pengajian 60 jam kredit atau bersamaan 2,400 jam pembelajaran itu adalah sebagai latihan asas kepada pegawai lantikan baharu untuk mengenal pasti kegiatan rasuah dan langkah pencegahan.

“Tempoh pembelajaran adalah selama tiga bulan secara bersemuka di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan secara dalam talian,” katanya pada majlis konvokesyen Malaysian Anti Corruption Commission Law Enforcement Accredited Programme 2022 di sini hari ini.

Majlis konvokesyen itu adalah yang pertama kali diadakan dengan kerjasama Nottingham Trent University (NTU) United Kingdom membabitkan 266 graduan dalam kalangan pegawai pelbagai jawatan di SPRM.

Pelajar terbaik Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7) cohort 1/2019, Nur Athikah Aziz, 30, berkata program itu memberi panduan yang lebih jelas kepadanya mengenai bidang siasatan dan pendakwaan.

“Program yang saya ikuti meliputi modul siasatan, perisikan dan pendakwaan yang kita tidak pernah belajar secara terperinci tetapi kini saya lebih jelas dengan tugasan dan kuasa yang ada. Ini banyak membantu kerjaya saya,” katanya yang bertugas di bahagian siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :