Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Umum (PRU15) Pakatan Harapan (PH) Shah Alam pada 11 September 2022 di Midland Convention Centre, Seksyen 7, Shah Alam . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ganda usaha pastikan HARAPAN kekal, tekad tambah kerusi di Selangor

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menyarankan anggota parti menggandakan usaha untuk membawa kemenangan kepada gagasan itu sekali gus mengekal dan menambah kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan beliau kini memastikan HARAPAN terutama Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi.

“Fokus kita dapatkan semula kerusi yang kita menang pada pilihan raya umum lepas atau tambah kerusi yang menang. Sebagai ketua, sekarang saya perlu bawa bahtera kemenangan pada HARAPAN.

“Untuk jawatan MB (Dato’ Menteri Besar), saya serahkan pada rakyat dan kepimpinan parti kemudiannya akan tentukan calon dan pemimpin yang layak,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis pelancaran Jentera PRU-15 HARAPAN Shah Alam di Midland Convention Centre, di sini.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan pembahagian kerusi di negeri itu hampir dimuktamadkan dan dijangka selesai akhir bulan ini atau selewatnya Oktober depan.

“Perbincangan kerusi hampir selesai, kurang daripada empat kerusi melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja manakala peringkat parlimen sudah selesai.

“Segala keputusan terletak bawah keputusan jawatankuasa pemilihan parti sebelum diputuskan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim. Setakat ini, perbincangan antara HARAPAN sangat baik,” katanya.


Pengarang :