Nazha Mohamed Arip dan suami, Mohd Ghazali Mohd Yunos ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Insentif Haji Muassasah 2022 anjuran DUN Seri Setia di Dewan Seri Kelana, Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jemaah haji terharu terima sumbangan RM500, mahu insentif diterus

PETALING JAYA, 25 SEPT: Sepasang suami isteri yang menjadi jemaah haji tahun ini berasa terharu selepas menerima sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 semalam.

Kakitangn syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Mohd Ghazali Mohd Yunos berkata beliau dan isteri, Nazha Mohamed Arip tidak menyangka akan diraikan sebegitu selepas berpeluang menunaikan rukun Islam kelima.

“Terkejut juga apabila tahu Kerajaan Selangor sediakan Insentif Haji Muassasah bernilai RM500 seorang. Skim ini baik dan sangat bersyukur bila dapat.

“Kami harap sumbangan ini akan diteruskan pada masa akan datang. Ini akan bantu bakal jemaah lain,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, pasangan berkenaan bersama 38 lagi jemaah haji di DUN Seri Setia menerima bantuan insentif dari Ahli Dewan Negeri Halimey Abu Bakar.

Muhammad Firdaus Shamsaimon

Sementara itu, pelajar Muhammad Firdaus Shamsaimon, 23, menganggap sumbangan wang tunai itu sebagai rezeki selepas dua kali menolak tawaran mengerjakan haji pada 2017 dan 2020.

“Datuk dan nenek daftarkan masa saya kecil. Tawaran pertama ditolak sebab sambung belajar. Kali kedua kerana penularan Covid-19.

“Bantuan ini akan digunakan untuk keperluan harian memandangkan saya masih belajar. Terima kasih kerana meraikan jemaah,” katanya.

Insentif Haji Muassasah Selangor diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta selepas tertangguh akibat penularan Covid-19.

Sumbangan menyasarkan 3,000 penerima itu merupakan tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang bakal menunaikan haji.


Pengarang :