Pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor menjalankan aktiviti bancian di lapangan bagi persediaan Banci Pertanian 2024. Foto Facebook DOSM Selangor
AGENSISELANGOR

Jabatan Perangkaan Selangor sahkan pegawai laksana aktiviti banci, henti sebar maklumat palsu

SHAH ALAM, 22 SEPT: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Selangor menafikan pegawainya terlibat kes samun atau penyamaran seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Sebaliknya, jabatan itu mengesahkan pegawai berkenaan sedang menjalankan aktiviti bancian di lapangan bagi persediaan Banci Pertanian 2024.

“Kami mengesahkan bahawa individu tersebut adalah anggota DOSM Selangor yang dilantik untuk melaksanakan aktiviti penyenaraian dan pengemaskinian maklumat isi rumah serta perniagaan.

“Justeru DOSM Selangor memohon agar penyebaran gambar dan maklumat yang tidak tepat menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp dihentikan,” menurut kenyataan di Facebook.

Menurut DOSM Selangor, sebelum ini , gambar pegawai kerja lapangan tersebut telah tersebar, disalah guna dan disalah tafsir sebagai penjenayah atau scammer melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh DOSM Selangor pada Selasa lalu. Untuk penjelasan lanjut, orang ramai boleh hubungi DOSM Selangor di talian 03-55150200.

 


Pengarang :