Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas ketika Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak bazar Ramadan Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jualan murah bantu rakyat jimat lebih RM800,000, inisiatif diterus ke 717 lokasi

KUALA LUMPUR, 20 SEPT:  Sejumlah RM880,000 penjimatan dinikmati rakyat negeri ini yang membeli barangan keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan perkiraan tersebut berdasarkan penganjuran program melibatkan lebih 100 tempat di 27 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 6 September lepas hingga setakat ini.

“Jumlah nilai subsidi yang dinikmati rakyat hasil pembelian di Jelajah Ehsan Rakyat sebanyak RM880,000 dan kita akan teruskan lagi ke 717 lokasi dikenal pasti bagi program ini.

“Rakyat Selangor jangan lepaskan peluang ini kerana untuk setiap DUN kita peruntuk sembilan hingga 10 kali untuk diadakan jualan murah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan acara renang dan menyampaikan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil di sini, semalam.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Inisiatif jualan murah itu dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri di seluruh 56 DUN mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini dengan peruntukan RM10 juta.

Enam jenis barangan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak dijual murah berbanding harga semasa pasaran.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :