Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Dato’ Amirul Azizan Abdul Rahim bercakap kepada Media Selangor selepas penjurian akhir pertandingan anugerah Medan Selera peringkat Kebangsaan di Medan Selera Batu Laut MPKL, Kuala Langat pada 20 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKL siap sedia gerak skuad Pantas, aset hadapi bencana

KUALA LANGAT, 21 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berada dalam kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan situasi luar jangka susulan peralihan monsun timur laut.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) sedia digerakkan pada bila-bila masa bersama aset lengkap.

“Kita sudah ambil maklum berhubung amaran fenomena ini (peralihan monsun) dan bersedia daripada segi anggota serta peralatan termasuk membeli dua bot baharu memandangkan sebelum ini terpaksa pinjam daripada jabatan lain.

“Beberapa program simulasi untuk menghadapi bencana turut dirancang membabitkan pejabat tanah dan daerah, polis serta bomba. Bagaimanapun kita berharap banjir teruk tidak berlaku seperti tahun lalu,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penjurian akhir pertandingan Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat peringkat kebangsaan 2022 di Medan Selera Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat di sini, semalam.

Dalam pada itu, Amirul Azizan memaklumkan semua balai raya dan dewan komuniti sedia dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas.

Tambahnya, Sekolah Menengah (SM) Sains Banting juga akan terlibat selaras keputusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang membenarkan sekolah berasrama penuh dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan memiliki kemudahan lengkap seperti katil, tilam dan bilik air.

“Setakat ini PPS lain di daerah ini tiada masalah untuk dibuka, malah anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan diberikan khemah tambahan daripada Nadma,” katanya.

Pada 14 September lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bersiap sedia bagi menghadapi musim monsum timut dengan jangkaan taburan hujan meningkat mulai Oktober hingga Disember.

Dato’ Haris Kasim menerusi surat arahan berkata persiapan itu bagi menghadapi kemungkinan banjir, banjir kilat, ribut dan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan.


Pengarang :