Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri dicadang laksana KPI, pastikan setiap program capai matlamat

SHAH ALAM, 15 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama mencadangkan indeks petunjuk prestasi utama (KPI) diperkenalkan bagi setiap rancangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Jamaliah Jamaluddin berkata langkah tersebut bagi memastikan setiap perancangan dinilai serta dipantau rapi dari semasa ke semasa untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Apabila kita usahakan pelbagai rancangan kita perlukan KPI. Perkara ini telah saya bangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan diambil maklum oleh Kerajaan Negeri.

“Sebagai contoh kita ada sasaran bagi pelepasan sifar karbon, jadi apa sudah dilakukan dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang?. Untuk tempoh setahun bagaimana nak pantau supaya mencapai matlamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘SKOP: Bersedia hadapi bencana’ yang disiarkan di semua saluran Media Selangor.

Jamaliah berkata setakat ini segala perancangan Kerajaan Negeri adalah terbaik namun perlu ada KPI untuk memantapkan setiap usaha tersebut.

“Sebab itu perlu ada pegawai yang memantau agar dapat kenal pasti sama ada ia mencapai sasaran atau tidak.

“Jika ia tidak mencapai matlamat yang diharapkan ia dapat dibaiki dan ditambah baik dengan lebih awal bagi memastikan rancangan berkenaan berjaya,” katanya.


Pengarang :