Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kiri) menyampaikan cek cura RM5,000 kepada pemenang hadiah utama kategori cerpen Lokman Hakim Abdul Wahid sempena Majlis Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masalah kesihatan anak, kerja jadi pendorong hasil karya bermutu

SHAH ALAM, 11 SEPT: Masalah pekerjaan dan kesihatan anak terjejas menjadi pendorong buat  Lokman Hakim Abdul Wahid, 38, menghasilkan karya berkualiti sekali gus dinobat sebagai pemenang utama kategori cerpen Hadiah Sastera Selangor 2021

Beliau berkata berkat kesabarannya menempuh segala ujian berkenaan menjadi hikmah untuk beliau menghasilkan cerpen berjudul ‘Jam menanggalkan jarumnya lalu menghitung’.

“Namun, ia bukan penghalang kerana sebagai penulis penghasilan sesebuah karya tetap perlu diteruskan. Bahkan, sebenarnya peristiwa yang berlaku ini adalah pendorong saya terus menghasilkan karya.

“Ini adalah terapi kerana menerusi karya yang ditulis ia menggambarkan keadaan dan emosi kita ketika waktu tersebut. Alhamdulillah rezeki saya dan mungkin ada hikmah semua ini terjadi,” katanya malam tadi.

Beliau ditemui pada malam Hadiah Sastera Selangor 2021 di Hotel Saujana Kuala Lumpur, dekat sini yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bagi pemenang utama kategori esei Abdullah Hussaini Mohd Ghazali, 32, berkata kemenangan pada malam ini adalah bukti bahawa pengkarya-pengkarya sastera ini masih dihargai.

“Ini merupakan kali kedua saya menang tetapi sebelum ini hadiah penghargaan pada 2019. Hadiah ini sudah pasti menggalakkan untuk terus menulis dan menghasilkan karya terbaik.

“Dalam menulis sesuatu karya berkualiti perlu perbanyak membaca selain mendalami hasil pengkarya lain,” katanya.

Sementara itu, Rasyidah Othman, 35, berkata beliau tidak menyangka dinobatkan sebagai pemenang utama kategori puisi menerusi majlis sastera ini.

“Ketika menulis karya ini saya sedang mengandung dan terinspirasi untuk menghasilkan karya yang lebih baik untuk dibaca peminat sastera.

“Insyaallah selepas ini saya akan cuba dengan bersungguh-sungguh untuk menulis karya yang lebih baik. Saya mungkin mula menulis pada awal tahun depan,” katanya.

Terdahulu, semua pemenang ini menerima hadiah wang tunai RM5,000 daripada Amirudin dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.


Pengarang :