Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Kejuruteraan Teknikal dan Penyelenggaraan Malaysia Airlines Berhad Eke Nazri Rahim (dua, kiri) dalam Majlis Makan Malam Apresiasi Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Turut sama EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB hargai kepercayaan semua pihak jayakan pameran udara kedua

SHAH ALAM, 9 SEPT: Dato’ Menteri Besar menghargai kepercayaan semua pihak terutama peserta dan pempamer yang menyertai Pameran Udara Selangor (SAS) 2022.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penglibatan pelbagai pihak dari dalam atau luar negara menjadikan SAS sebagai platform mengumpul pemain industri seterusnya menjana ekonomi.

“Terima kasih juga kepada penaja dan ahli jawatan kuasa penganjur. Ini bukan satu perjalanan mudah namun Kerajan Negeri yakin ekonomi akan lebih baik selepas Malaysia beralih ke fasa endemik.

“Walaupun pameran baharu dua kali dianjurkan, namun kita berjaya menarik ramai pengunjung,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Apresiasi SAS 2022 malam ini.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.

Bermula tahun lalu, Selangor menganjurkan SAS bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri selain mendedahkan orang ramai dengan dunia penerbangan.

Penganjuran kali ini bermula semalam hingga esok disertai 63 pempamer antaranya Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Pameran turut menarik penyertaan dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik dan United Kingdom.

Kali ini Selangor menyasarkan potensi nilai transaksi RM1 bilion membabitkan pemeteraian 24 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa.


Pengarang :