Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) menahan lori yang menceroboh tanah milik kerajaan dan membuang sampah berhampiran Lebuhraya Pulau Indah, Pelabuhan Klang baru-baru ini. Foto MPK
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK sita enam lori ceroboh tanah kerajaan, buang sampah haram

SHAH ALAM, 25 SEPT: Enam enam lori disita selepas menceroboh tanah milik kerajaan untuk membuang sampah haram berhampiran Lebuhraya Pulau Indah, Pelabuhan Klang sejak April lalu.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kesalahan tersebut selain menerusi video yang tular di laman sosial.

“Hasil risikan MPK berjaya menyita enam lori kapasiti tiga hingga 16 tan sejak April hingga awal September. Mereka membuang sampah berhampiran Lebuhraya Pulau Indah milik sebuah agensi kerajaan.

“MPK turut mengeluarkan Notis Pemberhentian Aktiviti Kerja Tanah di bawah Seksyen 70 A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya menerusi kenyataan.

Majlis turut mengingatkan pihaknya tidak berkompromi dalam isu pembuangan sampah haram dan akan memastikan setiap pesalah yang bertanggungjawab akan berdepan tindakan maksimum termasuk sitaan lori.

Orang ramai dipelawa membuat aduan berhubung pencerobohan atau osu kebersihan di WhatsApp Aduan MPK di talian 03-3371 4404.


Pengarang :