Pelawat mencuba aktiviti ‘joyride’ dengan menaiki helikopter ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang Jaya pada 8 September 2022. Pengunjung yang ingin menaiki kapal terbang atau helikopter hanya perlu membayar pada kadar ditetapkan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran udara dapat sambutan luar biasa, jumlah pelawat cecah 18,000

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 menerima sambutan luar biasa daripada pelawat perdagangan dan orang awam apabila jumlah pendaftaran mencecah 18,000.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad berkata angka itu melebihi sasaran awal ditetapkan iaitu 8,000 pengunjung sepanjang tiga hari pameran berlangsung di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark dekat sini.

Dato’ Hasan Azhari Idris menjelaskan sistem pendaftaran dalam talian untuk kunjungan orang awam pada hari terakhir pameran esok ditutup petang semalam, namun bagi pelawat perdagangan masih dibuka.

“Kita terpaksa tutup pendaftaran untuk orang awam berikutan sambutan begitu menggalakkan hingga mencecah 12,000. Tambahan pula akses masuk ke kawasan ini agak terhad dan perlu melalui prosedur keselamatan.

“Jika ada yang datang secara terus (walk in) tidak dibenarkan masuk kerana semakan nama dibuat berdasarkan sistem pendaftaran dalam talian dan pengunjung berdaftar akan diberi gelang pink,” katanya.

Bermula tahun lalu, Selangor menganjurkan SAS bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Edisi kedua penganjuran berlangsung dari 8 hingga 10 September disertai 63 pempamer antaranya Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Pempamer terdiri dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.

Kerajaan Selangor menyasarkan potensi nilai transaksi RM1 bilion membabitkan pemeteraian 24 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa.


Pengarang :