Pelawat dari Mycopter Aviation Services tidak melepaskan peluang berswafoto dengan kapal terbang ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang Jaya pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tambahan 13 bas esok mudahkan pengunjung ke pameran udara

SHAH ALAM, 9 SEPT: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menambah perkhidmatan bas percuma kepada pengunjung ke Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) esok.

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, tambahan 10 bas dan tiga bas mini bagi menampung pengunjung yang dijangka lebih ramai pada hari terakhir penganjuran berdasarkan pendaftaran dalam talian.

“Sepanjang dua hari pertama pameran, kita sudah sediakan enam bas. Bas berkenaan akan membawa pengunjung dari Terminal Skypark ke pintu belakang Skypark RAC dengan kekerapan bergantung kepada muatan sesebuah bas.

“Kita sudah selaraskan dengan pihak Skypark dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memudahkan kelancaran pendaftaran pengunjung di Terminal Skypark serta tapisan keselamatan di pintu masuk RAC,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris.

Bermula tahun lalu, Selangor menganjurkan SAS bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

SAS 2022 berlangsung dari semalam hingga esok disertai 63 pempamer antaranya Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Pempamer terdiri dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Republik Czech, United Kingdom dan Malaysia.

Kerajaan Selangor menyasarkan potensi nilai transaksi RM1 bilion membabitkan pemeteraian 24 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa.


Pengarang :