Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bukit Melawati di Sasaran Sungai Buloh , Kuala Selangor pada 21 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Permohonan banyak, tapisan untuk pastikan yang layak dapat bantuan

KUALA SELANGOR, 21 SEPT: Syarat kelulusan bagi mendapatkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) diperketat berikutan jumlah permohonan yang terlalu tinggi.

Pegawai tugas-tugas khas Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata pemohon iaitu suami isteri merupakan pengundi di situ, pendapatan kurang RM2,000 sebulan dan mempunyai tiga anak bersekolah.

“Untuk status ibu tunggal, kita akan lihat keadaan serta tanggungan mereka sebelum diluluskan. Semua penerima juga tidak pernah mendapat bantuan Kasih Ibu Smart Selangor.

Pegawai Tugas Khas DUN Bukit Melawati Muhammad Farhan Zulkifli

“Jika pernah terima, kita teruskan bantuan tetapi akan lihat tanggungan mereka,” kata Muhammad Farhan Zulkifli selepas meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Sasaran Sungai Buloh hari ini.

Bingkas yang juga sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang dilancarkan akhir Jun lalu bakal memanfaatkan 30,000 keluarga dengan peruntukan RM108 juta.

Program tersebut membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan RM300 atau RM3,600 setahun, yang diagihkan menerusi e-dompet Wavpay bagi memudahkan mereka berbelanja.


Pengarang :