Orang ramai menjalani pemeriksaan mata secara percuma melalui program Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor terus salur bantuan, pastikan kehidupan rakyat lebih baik

PETALING JAYA, 10 SEPT: Kerajaan Selangor akan meneruskan pelbagai insentif serta bantuan kepada rakyat bagi menyokong kehidupan yang lebih baik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak 2008, Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Harapan sering meminda, mengubah atau menambah baik keperluan rakyat selain mengutamakan kebajikan penduduk.

“Kita nak pastikan tak ada penduduk yang tertinggal di negeri ini. Kita ada 42 program bantuan menerusi pakej Iltizam Selangor Penyayang (ISP). Terbaharu kita umum Skim Insurans Hayat Selangor.

“Kita satu-satunya negeri yang bela nasib rakyat. Kita ada rizab besar sebab itu kita mahu bantu rakyat. Mahu semaikan rahmah dan kasih sayang antara satu sama lain,” katanya di majlis Pentas Anak Muda anjuran Angkatan Muda Keadilan malam tadi.

Pakej bantuan ISP yang disediakan Kerajaan Negeri meliputi 12 program kebajikan keluarga, kesihatan (10), pendidikan (lapan), perumahan (tujuh) dan pekerjaan (lima) dengan peruntukan lebih RM600 juta.

Skim menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat itu turut memperkenalkan 11 insentif baharu antaranya program kesihatan Selangor Saring, Iltizam Anak Penyayang, Saringan Barah dan Selangor Mental Sihat.

Kerajaan Negeri turut melancarkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga.


Pengarang :