Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kelengkapan mangsa banjir sebagai persediaan menghadapi bencana selepas menghadiri program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Simulasi bah tingkat kecekapan urus bencana, komunikasi antara agensi

SHAH ALAM, 29 SEPT: Program simulasi bencana yang dianjur sejak semalam menekankan aspek komunikasi antara agensi bagi melancarkan operasi menyelamat jika berlaku banjir hujung tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata program dua hari tersebut turut menyemak dan mengemas kini tatacara operasi piawai (SOP) menyelamat selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara.

“Tindakan ini supaya bencana dapat diurus lebih cepat dan pantas terutama untuk elakkan kehilangan nyawa. Jika bencana, sudah pasti proses mencari dan menyelamat perlu dilaksanakan segera.

“Dalam program ini, kita nampak bukan mudah untuk setiap jabatan berfungsi. Sebab itu kita sudah gerakkan persediaan lebih awal mendepani bencana,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor, hari ini.

Program yang melibatkan 343 peserta dari 67 agensi bertujuan bertujuan memastikan semua pihak terlibat bersiap sedia dari aspek perkhidmatan, peralatan dan aset bagi menghadapi apa jua bencana.

Amirudin memaklumkan aset menyelamat termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan di setiap daerah sudah dikumpulkan sebagai persediaan banjir.

“Berbanding sebelum ini kita lakukan secara berpusat. Bila banjir, bantuan tak sampai atau kita terputus bekalan. Belajar dari pengalaman tahun lalu maka kita gerakkan lebih awal sejak Ogos,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 


Pengarang :