Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (berdiri dari atas, tengah) bersama pemain bola sepak Selangor 1995 selepas menyerahkan kunci Rumah Idaman Selangor sempena Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skuad bola sepak 1995 lega terima rumah, lerai penantian 27 tahun

SHAH ALAM, 6 SEPT: Tawaran Rumah Idaman Abadi bernilai RM250,000 sebagai menggantikan sebidang tanah yang dijanjikan pimpinan negeri terdahulu melegakan 31 bekas pemain dan pegawai skuad Selangor era 1995.

Bekas penolong jurulatih Selangor mengakui terharu atas komitmen Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana menoktahkan penantian selama 27 tahun untuk memperoleh ganjaran atas kejayaan merangkul Piala Malaysia ketika itu.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan situasi ini. Memang tempoh menunggu (pemberian ganjaran) sangat lama dan janji (dibuat Menteri Besar ketika itu) akhirnya tertunai.

“Beliau (Amirudin) serius tangani isu ini dan semestinya menyuntik semangat semua pemain serta pegawai pasukan Selangor 1995,” kata Datuk K Rajagopal ketika dihubungi Selangorkini.

Rajagopal, 66, yang juga bekas pengendali Harimau Malaya turut difahamkan kediaman diperoleh terletak di Kajang 2, mukim Semenyih, namun belum memutuskan untuk tinggal di situ atau sebaliknya.

“Saya belum buat keputusan sama ada untuk tinggal di rumah itu atau tidak. Kita lihat bagaimana nanti memandangkan sekarang masih menetap di Petaling Jaya.

“Paling penting apa yang dijanjikan sudah dapat, itu sudah cukup melegakan,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Amirudin melakukan simbolik penyerahan kunci rumah kepada pemain dan wakil sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Sebelum ini, beliau berkata bekas pemain Selangor yang menjulang Piala Malaysia pada 1995 menerima tawaran Rumah Idaman Abadi di Kajang 2, mukim Semenyih.

Pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-28 pada 11 November 1995 selepas menanti selama sembilan tahun apabila menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.

Susulan itu, pemain dan pegawai dijanjikan sebidang tanah berukuran 0.4 hektar oleh mantan Dato’ Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib tetapi tidak ditunaikan menyebabkan mereka meminta Amirudin mencari jalan penyelesaian.


Pengarang :