Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama Pegawai Daerah Selangor selepas menyerahkan (khemah) cubical tent ketika Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Johor sumbang lebih 8,000 khemah bantu persediaan banjir

SHAH ALAM, 29 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyumbang 8,543 khemah kepada Selangor sebagai persediaan menghadapi bencana banjir hujung tahun ini.

Setiausaha bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkata sumbangan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor itu diberikan secara berperingkat sejak Mei.

“Baginda menyerahkan kepada semua negeri. Di Selangor sumbangan sudah diagih ke semua daerah. Agihan diutamakan ke kawasan yang berisiko dinaiki air,” kata Muhamad Shah Osmin ketika ditemui di Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan khemah berkenaan kepada semua pegawai daerah di majlis berkenaan.

Sebelum ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenal pasti lapan daerah di Selangor sebagai lokasi kerap banjir iaitu Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Berikutan itu, semua agensi diarah bersiap sedia berikutan jangkaan taburan hujan antara bulan ini hingga Disember boleh menyebabkan banjir, ribut dan tanah runtuh.

Sebagai persediaan, sebanyak 796 pusat pemindahan sementara (PPS) diwarta yang boleh menampung 151,000 mangsa banjir selain menempatkan 164 bot, lori dan pacuan empat roda di semua daerah.


Pengarang :