Pegawai Komunikasi Korporat Global Turbine Asia, Aida Fakhrul Lamakasauk memberi penerangan kepada pengunjung berhubung struktur enjin helikopter model Arrius 1A sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Syarikat jurutera perkenal tiga teknologi dron, robotik dalam pameran udara

SHAH ALAM, 10 SEPT: Syarikat perkhidmatan kejuruteraan dron dan robotik tempatan menjadikan Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 sebagai medium memperkenalkan teknologi dibangunkan mereka.

Ketua pengendali kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) H Drones & Robotics Sdn Bhd berkata pihaknya menampilkan tiga jenis teknologi ke pameran terbabit iaitu kenderaan berat tanpa pemandu (UGV), robotik bawah permukaan air (ROV) termasuk UAC.

“Kita menguasai kejuruteraan teknologi daripada bahagian udara, darat dan air. Maka kita bawakan ketiga-tiga teknologi ini supaya pengunjung tahu bahawa syarikat ini turut menghasilkan dron serta robot sendiri selaras revolusi industri 4.0.

“Sebenarnya kebanyakan pengunjung yang singgah ke reruai baru tahu berkenaan ROV yang berfungsi memeriksa keadaan air dari laut. Malah ada juga pengunjung tertarik dengan UGV,” kata Muslihuddin Rosman kepada SelangorKini semalam.

Syarikat berkenaan antara 63 pempamer yang menyertai pameran anjuran Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) selama tiga hari dari 8 hingga 10 September di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark dekat sini.

Mengorak langkah ke depan, Muslihuddin, 28, berkata syarikat yang baharu setahun bertapak di Cyberjaya, Selangor berhasrat membentuk kerjasama dengan beberapa syarikat pengendali pengangkutan awam dan pelabuhan dalam negara.

“Misalnya perancangan beberapa projek usahasama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB). Mereka mahu menggunakan perkhidmatan UGV dan ROV yang dihasilkan oleh H Drones & Robotics,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Global Turbine Asia Aida Fakhrul Lamakasauk berkata pihaknya menampilkan replika enjin helikopter tentera model Arrius 1A untuk tatapan pengunjung sepanjang pameran berlangsung.

Menurutnya pelawat termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut diberi pendedahan berkaitan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) beberapa enjin helikopter polis dan tentera dimiliki syarikat terbabit.

“Esok (hari ini) merupakan hari terakhir SAS, jadi dijangka ramai pelajar IPT jurusan kejuruteraan dan penerbangan akan singgah ke reruai. Kami fokus untuk beri penerangan kepada mereka berkaitan penyelenggaraan enjin helikopter.

“Pendedahan sebegini penting khususnya kepada penuntut ijazah sarjana dan doktor falsafah yang menulis tesis penyelidikan akademik berkaitan bidang ini,” katanya.

Bermula tahun lalu, Selangor menganjurkan SAS bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Pameran sejak Khamis hingga hari ini disertai 63 pempamer antaranya Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Pempamer terdiri dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.


Pengarang :