Haslinda Md Hassan dan anaknya menyediakan sup daging yang ditempah oleh pelanggan di Restoran Makan @melatee, Kuang, Rawang pada 23 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tiga beradik rela jual kereta selamatkan legasi bapa niaga daging lembu

SHAH ALAM, 29 SEPT: Haslinda Md Hassan, 44, masih ingat apabila bapanya Md Hassan Man kembali ke rahmatullah pada 1999, simpanan di bank dibeku menyebabkan modal pusingan perniagaan yang menjadi sumber pendapatan keluarga terjejas.

Pemergian bapa pada usia 57 tahun cukup merunsingkan lulusan diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak itu selain kakaknya Haslina, 58, dan dua abang, Nazri (meninggal pada 2013) serta Mohd Nazmi, 52.

Proses mencairkan kembali wang simpanan perniagaan atas nama bapa memakan masa beberapa tahun. Akibat tiada pilihan, empat bersaudara itu berikhtiar cara lain.

Tekad mahu menyelamat perniagaan ternakan lembu untuk bekalan daging yang diusahakan bapa sejak 1970-an, mereka meminjam wang daripada kenalan rapat dan saudara terdekat berjumlah kira-kira RM100,000.

Pada masa sama, Haslina, Nazri dan Mohd Nazmi menjual kereta masing-masing dan mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung modal pusingan.

Selepas lebih dua tahun barulah wang modal pusingan dalam bank berjaya dikeluarkan. Selama itu jugalah perniagaan arwah bapa dapat dipertahankan.

Bimbang pisang berbuah dua kali, mereka menukar status perniagaan bapa yang sebelumnya pemilikan persendirian kepada sendirian berhad.

Tiga tahun kemudian, perniagaan bukan sahaja stabil, malah mereka membuka rumah sembelih dengan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Tak banyak rumah sembelih swasta dapat kelulusan JPV kerana syarat ketat. Setiap kali penyembelihan JPV akan memantau,” kata anak jati Selayang Baru itu ketika ditemu bual pada 23 Ogos.

Haslinda Md Hassan dan anaknya menyediakan sup daging yang ditempah pelanggan di Restoran Makan @melatee, Kuang, Rawang pada 23 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain baka tempatan, mereka turut membeli lembu dari Thailand bagi menampung permintaan terutama musim perayaan yang mencecah lebih 400 ekor lembu.

“Raya korban tempoh paling sibuk. Lepas sahaja puasa, abang saya nombor tiga berulang alik ke Thailand untuk beli lembu dan ditempatkan di ladang kami,” kata ibu kepada tiga putera itu.

Pada 2007, mereka membuka kilang kecil di Selayang untuk meneroka produk hiliran berasaskan lembu antaranya bebola daging, burger dan sosej dengan jenama HS Nada serta Hasz.

Sup kawah

Berikutan permintaan semakin tinggi, operasi dipindahkan ke kilang lebih besar di Rawang pada 2022 yang mampu mengeluarkan tiga hingga empat tan produk daging sehari termasuk tempahan syarikat jenama lain.

Perniagaan keluarga Md Hassan turut membuka dua lagi kedai menjual produk daging di Kuang pada 2014 dan Bangi pada 2016.

Selain membekal daging lembu, empat beradik itu memanfaatkan sup kawah resipi keluarga dengan membuka Restoran Makan@Melatee di tanah tempat ternakan lembu syarikat di Kampung Damai Kuang, Gombak pada 2020.

Bermodal hampir RM100,000, restoran itu diuruskan Haslinda sendiri. Semasa kerja ubah suai mula dijalankan, dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19.

“Masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) itu, saya kata kita tak boleh berhenti macam itu sahaja sebab modal sudah keluar banyak dan pekerja pun sudah ambil. Jadi, kita buka juga tetapi masa itu pelanggan tidak boleh makan di kedai. Kami guna penghantar makanan,” katanya.

Apabila PKP dilonggar dengan membenarkan pelanggan makan di kedai, sambutan cukup baik dan orang ramai memenuhi restoran setiap malam.

Kira-kira 100 kilogram daging dan bahagian lain seperti ‘gearbox’, ekor dan lain-lain habis setiap hari.

Pada 2022, hasil pinjaman Yayasan Hijrah Selangor RM50,000, Haslinda membesarkan lagi restoran termasuk kawasan tempat letak kereta pelanggan.

Ketika ini, syarikat HS Nada Sendirian Berhad mempunyai tiga anak syarikat iaitu HS Nada Processing, HS Nada Catering dan HS Nada Ternak dengan kira-kira 40 produk sejuk beku dibantu 60 pekerja.

Selepas 23 tahun empat bersaudara menyelamat perniagaan arwah bapa pada 1999, kini legasi itu sedia untuk diteruskan oleh 13 cucu Md Hassan.


Pengarang :