Cef Liza Zainol bersama produk keluaran syarikatnya sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cef Liza Zainol teruja, harap dapat sertai ekspo niaga akan datang

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Cef selebriti Liza Zainol berasa teruja kali pertama menyertai Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) anjuran Kerajaan Negeri.

Beliau yang popular dengan rancangan Jom Masak Bersama Sri Murni di sebuah stesen televisyen, berharap diberi peluang lagi untuk turut serta dalam program sama pada masa depan.

Katanya, ekspo itu membolehkan beliau mempromosikan produknya, 7 Rencah 7 Rasa iaitu tujuh jenis rempah masakan yang dihasilkan sejak lima tahun lalu.

“Sebelum ini produk saya dijual secara dalam talian, pasar raya terpilih dan pameran tertentu sahaja. Bila berpeluang sertai ekspo sebegini saya yakin boleh luaskan lagi jaringan niaga.

“Sepanjang dua hari pameran, ramai yang datang dan bertanya macam-macam tentang produk dipamer,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Cef Liza adalah antara 472 pempamer yang menyertai SIE di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Beliau pernah mencatat nama dalam Malaysia Book of Records dengan memasak 111 menu selama 50 jam tanpa henti.

Menceritakan perkembangan terkini, beliau turut menganjurkan kelas masakan dengan penduduk Kampung Bendahara, Gombak selain masih menyertai bengkel dan demonstrasi masakan.

“Ekspo anjuran Kerajaan Selangor ini juga membolehkan saya membawa produk anak-anak murid yang pernah sertai bengkel memasak anjuran saya,” katanya.

SIE antara enam acara utama di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berlangsung dari 6 hingga 9 Oktober.

Turut dianjurkan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC), Ekspo Penyelidikan serta Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) juga Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark).


Pengarang :