AGENDANASIONAL

Empat daerah di Selangor, Putrajaya diramal hujan lebat hingga 1 tengah hari

SHAH ALAM, 10 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 1 tengah hari ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut dijangka berlaku di negeri ini di daerah Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Situasi sama diramal di seluruh Putrajaya dan Melaka manakala Negeri Sembilan melibatkan Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :