Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendengar pengalaman doktor pelatih sebelum mereka memulakan rondaan di Hospital Selayang pada 13 Mei 2022. Foto Twitter Khairy Jamaluddin
AGENDANASIONAL

Enam aduan kes buli diterima menerusi sistem MyHELP@KKM

PUTRAJAYA, 4 OKT: Sebanyak enam aduan kes buli melibatkan warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) diterima setakat hari ini menerusi sistem aduan MyHELP@KKM yang mula beroperasi pada Sabtu lepas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KKM di sini hari ini, Khairy berkata setiap aduan kes buli yang diterima melalui sistem itu akan melalui proses siasatan yang telus dan berintegriti oleh Unit Integriti KKM.

MyHELP@KKM adalah satu sistem pelaporan aduan berkenaan buli di tempat kerja khusus untuk warga kerja KKM.

“Walaupun hanya empat hari dibuka, sistem ini telah terima enam aduan dan ini menunjukkan ada yang berani guna sistem ini. Tidak perlu takut kerana setiap identiti akan dirahsiakan dan siasatan mendalam akan dilakukan,” katanya.

Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) pada 17 Ogos lepas mengesahkan terdapat isu buli dan kelesuan serta budaya kerja kurang sihat di KKM.

Pada 22 Sept lepas, Khairy memaklumkan yang HWCITF mengesyorkan penggunaan sistem aduan MyHELP@KKM yang boleh diakses mulai Sabtu lepas (1 Okt) bagi menangani kes buli di KKM.

Sistem aduan itu, katanya akan memudahkan pegawai membuat aduan kes buli secara langsung dan tindakan susulan dapat diambil segera menerusi tatacara yang telus serta menjaga kerahsiaan pelapor.

– BERNAMA


Pengarang :