Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika meninjau persiapan sambutan Deepavali di Little India, Klang pada 21 Oktober 2022. Foto YUISR YUS/SUARA KEADILAN
AGENDANASIONAL

HARAPAN yakin tawan Parlimen Perak jika jentera usaha keras

KLANG, 21 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin mampu menawan banyak kerusi Parlimen Perak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bulan depan.

Berikutan itu, Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jentera gabungan itu perlu bekerja keras untuk mencapai hasrat tersebut.

“Insya-Allah kita tawan Perak. Saya tidak mengikut peratusan, saya kerja kuat. Namun, saya kena jaga kawasan lain seperti esok di Pulau Pinang, Ahad di Sabah manakala Isnin ke Sarawak,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau Little India di sini berterima kasih kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam yang menamakannya antara tiga pemimpin layak menerajui pentadbiran negara.

“Saya ucap terima kasih kenyataan Musa itu membantu. Dia (Musa) kata layak dan ada pendedahan international (antarabangsa),” katanya.

Semalam, Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat diumum sebagai calon jawatan nombor satu negara jika HARAPAN mendapat mandat rakyat dan berjaya menawan Putrajaya.

Beliau sendiri turut membuat pengumuman bakal bertanding di Parlimen Tambun bagi membantu menaikkan martabat negeri ini selain menjadi gergasi ekonomi baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai hari mengundi, penamaan calon pada 5 November sementara pengundian awal 15 November, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Pengarang :